UCAPAN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2025
PERINGKAT RAUDHAH ISLAMIC SCHOOL PUTRAJAYA
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ، وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar, menikmati nikmat kemerdekaan, dan berkumpul bersama-sama pada hari-hari yang penuh makna, bagi meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Hari Kebangsaan bukanlah sekadar cuti umum, perarakan bendera, atau laungan “Merdeka” semata-mata. Ia membawa erti yang jauh lebih mendalam dan bermakna. Sambutan ini adalah tanda kesyukuran kita kerana tanah air yang tercinta ini telah dibebaskan daripada belenggu penjajahan setelah berabad lamanya berada di bawah kuasa asing yang menindas hak dan kebebasan bangsa kita.
Hari ini, kita berdiri di bumi yang merdeka hasil perjuangan dan pengorbanan para pejuang bangsa, pemimpin terdahulu, serta seluruh rakyat yang bersatu hati. Mereka mengorbankan jiwa dan raga, tidak mengira penat lelah, tanpa mengharapkan pangkat atau imbuhan, semata-mata demi memastikan generasi hari ini dapat hidup aman, menuntut ilmu dengan selesa, dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga.
Kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga bebas daripada kemunduran, kemalasan, dan perpecahan. Sebagai generasi pewaris, menjadi tanggungjawab kita untuk mengisi kemerdekaan ini dengan semangat menuntut ilmu, membina akhlak yang mulia, mengamalkan disiplin yang tinggi, serta memelihara keharmonian antara kaum dan agama.
Malaysia ini indah kerana kepelbagaian budayanya. Kita ada Melayu, Cina, India, serta masyarakat Sabah dan Sarawak, semuanya bersatu di bawah satu bendera, Jalur Gemilang. Kepelbagaian inilah kekuatan yang menjadikan negara kita unik dan disegani di mata dunia.
Justeru, marilah kita beriltizam menjadi generasi yang berilmu, beriman, dan berakhlak mulia agar Malaysia terus maju, aman, dan dihormati. Semarakkan semangat cinta kepada tanah air dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan, kerana kibaran itu bukan sekadar kain berwarna-warni, tetapi simbol kesetiaan, perpaduan, dan semangat juang seluruh rakyat Malaysia.
Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, marilah kita bersama-sama membina masyarakat yang berpengetahuan, berdisiplin, berakhlak tinggi, dan saling menghormati antara satu sama lain demi kesejahteraan agama, bangsa, dan negara.
Akhir kata, hayatilah erti kemerdekaan ini dengan penuh rasa syukur. Semoga Allah SWT terus memberkati tanah air yang tercinta ini dan memeliharanya daripada segala bentuk ancaman.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Sekian,
وَبِاللّٰهِ التَّوْفِيق وَالْهِدَايَة, والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
WAN MUHAMAD BIN WAN JUNOH
Guru Besar,
Raudhah Islamic School Putrajaya.
27 Ogos 2025.